rss
email
twitter
facebook

Rokok dan dadah

196267
Walaupun pengaruh rokok dan dadah ini tidak boleh dikatakan seratus peratus datang daripada negara barat, tetapi apa yang ingin ketengahkan ialah mengenai pengaruh gaya dan stail barat terhadap rokok itu sehingga menjadi kegilaan belia remaja.
Pengaruh ini merupakan faktor utama yang sedang melanda masyarakat dunia. Menurut Dr. Forest Tenant, seorang pakar yang membuat kajian tentang dadah, penyalahgunaan dadah, rawatan dadah, dan pencegahan dadah. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa bila kita dapat selesaikan masalah merokok, kita akan dapat menyelesaikan banyak masalah berkaitan dadah. Menurut beliau, 95 peratus daripada penagih heroin dan kokain bermula dengan rokok sebagai ‘dadah pertama’ . Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa pengaruh rokok menimbulkan impak yang besar dalam kehidupan.
Apatah lagi kita lihat iklan-iklan rokok dari barat yang berada di alam fantasi bagi mempengaruhi remaja belia. Misalnya, ditunjukkan lelaki pakai tali leher dan sut turun dari kereta mewah masuk ke hotel dan ada perempuan cantik menunggunya. Dia kemudian menghisap rokok jenama yang diiklankan itu. Menurut Ungku Aziz, remaja yang melihat iklan ini tadi cuma tinggal hisap rokok sahaja. Dia tidak dapat apa-apa, tidak ada kereta mewah, tidak ada perempuan cantik dan tidak ada tali leher. Ini satu tragedi. Kita umpan remaja yang mencari model dengan gambaran imej seperti itu. Imej itu bukan realiti, dan ia mengelirukan remaja yang masih mencari-cari identiti.Mereka tidak dapat menangkap makna identiti dan jati diri. Jati dirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti.
Sebenarnya banyak lagi pengaruh budaya barat yang telah menjadi sebati dalam hidup kita yang boleh diketengahkan seperti meletakkan sunting di pusat, telinga (lelaki), kening, hidung dan lain-lain. Cukuplah dengan sedikit pembentangan yang dipaparkan untuk dijadikan panduan hidup kita. Mudah-mudahan tidak ada salah tanggap terhadap pembentangan ini yang seolah-olah kita menuju kepada ke alam konservatif atau ortodoks. Biar kita maju mengikut acuan kita, dan bukannya disadur dan dicedok bulat-bulat daripada barat.

0 comments:

Post a Comment