rss
email
twitter
facebook

Keleburan jati diri

196633
“…saya mahu setiap rakyat Malaysia mempunyai modal insan iaitu personaliti yang tinggi hemahnya, tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa juga bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang. Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorag individu. Ini akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara,”. Begitulah tingginya harapan dan hasrat yang digagaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui kata-kata dan ucapannya pada tahun 2005.
Namun, maklumat daripada majalah Siti, 2006, sebanyak 1.13 peratus remaja terlibat dengan kes buang bayi, 40 peratus menonton bahan lucah, 16 peratus berjudi, 70 peratus merokok, 14 peratus terlibat dalam penyalahgunaan dadah, 25 peratus mengambil minuman keras, dan 18 peratus melakukan seks bebas. Dapatan ini merupakan satu angka yang amat membimbangkan dan boleh meruntuhkan kecemerlangan negara Malaysia.
Keruntuhan akhlak yang menjadi ancaman rakyat Malaysia bermula dari diri individu itu sendiri. Mereka ini berjiwa kerdil, pasif, tidak menghargai diri, tidak berpendirian dan tidak berwawasan. Mereka juga tidak mempunyai identiti sendiri, mudah terpengaruh dan lebih mengagung-agungkan budaya kuning dari Barat. Sebahagian rakyat khasnya golongan remaja terlibat dengan fenomena keruntuhan akhlak yang amat menjijikkan dan boleh melemah dan meruntuhkan negara bangsa. Selain itu, mereka juga lemah minda, malas berfikir dan mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuatu atau sehingga ada yang menyelesaikan masalah dengan mengambil dadah dan yang paling kritikal sehingga membunuh diri. Mereka sepatutnya berasa bangga dengan adat ketimuran yang terkenal dengan budi bahasanya.
Maka, apakah yang menyebabkan masalah ini wujud? Memang tidak dapat dinafikan bahawa punca utama keleburan jati diri ini adalah pengaruh barat melalui media massa. Hal ini demikian kerana pihak yang berkenaan tidak menapiskan apa yang akan disiarkan atau dipaparkan melalui media massa. Ini adalah kerana ada segelintir program-program dan drama-drama yang memaparkan pergaulan bebas dalam kalangan remaja, program-program realiti televisyen, serta rancangan-rancangan yang bersifat hiburan semata-mata mempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik. Umpamanya corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran, cara berpakaian yang kurang sopan dan gaya hidup yang mengikut cara barat. Secara tidak langsung, ini akan dijadikan ikutan remaja kerana mereka mempunyai perasaan ingin mencuba dan mengikut apa sahaja yang dibuat oleh idol-idol mereka.
Keleburan jati diri atau keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberikan kesan yang agak besar dalam masyarakat dan juga negara. Ini adalah kerana remaja merupakan aseat utama Negara pada masa hadapan dan mereka memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berganding bahu untuk menangani masalah ini supaya kerancakan pembangunan negara tidak terbantut.


CHONG BAO XUE 196633

0 comments:

Post a Comment